KAMPUNG BASUNG - Mungkin ramai menganggap timun atau mentimun hanya 
sayuran yang sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan, hiasan saji 
atau dijadikan ulam, namun ramai tidak tahu tumbuh-tumbuhan tersebut 
sebenarnya boleh dijadikan jeruk atau 'gherkin'.
 Itu merupakan inisiatif serta inovasi dilakukan bapa kepada tiga anak, 
Azri Mamat, 32, bagi memasarkan timun atau nama saintifiknya 'cucumis 
sativus' yang diusahakannya sejak 2013.
 Ketika berkongsi pengalamannya, pemegang Diploma Pengajian dari 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia sanggup melepaskan 
pekerjaan dalam bidang perhotelan dengan gaji RM2,500 sebulan demi 
minatnya untuk bekerja sendiri dan berbakti kepada tanah.
 "Idea untuk menghasilkan jeruk timun timbul selepas hasil pertama timun
 yang saya usahakan sekitar 2013 lalu hanya dijual pada harga RM0.50 
sekilogram mengikut harga pasaran ketika itu. Saya hampir terduduk, 
namun terus berfikir apa lagi boleh dilakukan dengan timun.
 "Saya terfikir untuk buat transformasi jeruk timun. Walaupun mungkin 
benda baharu bagi orang ramai, tetapi jeruk timun sebenarnya sudah 
popular di negara-negara barat serta banyak digunakan dalam industri 
perhotelan dan resort di Malaysia," katanya.
 Azri berkata, sejak itu dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha
 membuat kajian melalui internet serta mendapatkan khidmat nasihat Mardi
 dan juga Jabatan Pertanian.
 Menurutnya, formula yang diperoleh daripada Mardi dan Jabatan Pertanian
 diolah dan percubaan demi percubaan terus dilakukan sehinggalah 
terhasilnya jeruk timun East Vege.
 "Sehingga awal tahun ini barulah terhasilnya jeruk timun yang 
benar-benar menjadi, bukan hanya dari segi rasa, malah ketahanan. 
Sebelum ini berlaku juga situasi penutup botol berkarat.
 "Saya jangka jeruk timun ini dapat dikomersialkan pada tahun depan dan 
sasaran utama pemasaran adalah resort serta hotel, memandangkan jeruk 
timun antara bahan utama dalam dapur hotel," katanya.
 
 
 
Tunggu maklum balas
 Azri memberitahu, buat masa sekarang, usahanya memasarkan jeruk timun 
masih dalam percubaan dan menunggu maklum balas daripada beberapa hotel 
sekitar Kota Bharu, Kelantan dan Terengganu.
 Katanya, jeruk timun dikeluarkan dengan berat bersih 340 gram (gm) 
sebotol belum dijual secara komersial kepada orang ramai kerana beberapa
 perkara perlu diberi tumpuan terlebih dahulu termasuk aspek pelabelan 
dan status halal.
 "Ada peniaga burger menunjukkan minat untuk guna jeruk timun dan dengan
 penghasilan yang formula masam-masam manis, jeruk timun sebenarnya 
mampu memberikan nilai tambah kepada sesuatu resipi makanan.
 "Selain jeruk timun, hasil transformasi yang dilakukan berjaya 
menghasilkan air timun yang kini dibotolkan dalam isian 270 mililiter 
dan telah mula dijual secara kecil-kecilan di sekitar kawasan kampung 
dengan harga RM1.50 sebotol," katanya.
 
 
 
Mula tanpa pengalaman
 Azri mengakui dia menceburi bidang pertanian timun tanpa sebarang 
pengalaman dan hanya berpandukan informasi diperoleh daripada bahan 
bacaan serta perkongsian dengan rakan sambil dibantu keluarga dari segi 
modal berjumlah RM15,000.
 Dia pernah mengusahakan projek kelapa dan ikan keli salai secara 
perkongsian sekitar 2004 sehingga 2010, namun rezeki tidak memihak 
kepadanya menyebabkan dia berputus asa sekali gus beralih ke bidang 
perhotelan.
 "Bagaimanapun, kerana jiwa saya yang suka bekerja sendiri, saya tak 
capai kepuasan bekerja dalam bidang perhotelan lalu mengambil keputusan 
berhenti dan mencebur diri dalam bidang pertanian. Akhirnya saya pilih 
timun walaupun langsung tiada asas berkaitan.
 "Melalui pembacaan dan tunjuk ajar kawan di Dungun, saya nekad untuk 
cuba tanam timun secara fertigasi di atas tanah seluas 0.12 hektar 
menggunakan kira-kira 500 polibeg. Walaupun hasil pertama menjadi tetapi
 harga di pasaran ketika itu rendah," katanya.
 Tambahnya, dia kini mempunyai lebih kurang 1,800 polibeg timun yang 
mampu mengeluarkan hasil sehingga 4.5 tan semusim dan usahanya kini 
dibantu isterinya, Wan Noorfaizah Wan Ramli, 32 yang menjaga aspek 
pengurusan.
-Petikan Akhbar Sinar Online