KUALA BERANG - Data peribadi perlu dijadikan komoditi berharga bagi setiap individu dan bukannya terlalu mudah berkongsi di laman sosial sehingga mengundang perkara tidak diingini termasuk ancaman keselamatan diri.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pengguna perlu mempunyai had batasan dan bukan sewenang-wenangnya berkongsi segala data peribadi termasuk aktiviti kehidupan seharian atau menayangkan kemewahan dimiliki.
Menurutnya, tidak salah berkongsi tetapi perlu sentiasa beringat yang tidak semua perkara boleh dikongsikan.
"Tindakan mendedahkan identiti di media sosial mampu menyumbang berlakunya jenayah siber dan rompakan seperti mana kejadian yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan beberapa hari lalu.
"Niat kita mungkin sekadar berkongsi gambar kenang-kenangan tapi tindakan sebegini sebenarnya membolehkan orang mengenali kita dan mengetahui segala aktiviti serta kemewahan yang dimiliki," katanya.
Jailani berkata, begitu juga dengan peniaga di atas talian yang mungkin pada asalnya mahu mempromosikan perniagaan.
"Oleh itu kita perlu berpada-pada agar tidak menjadi sasaran mereka yang berniat negatif. Jadikan data peribadi kita sebagai barangan komoditi berharga, begitu juga dengan aktiviti kehidupan seharian dan harta benda yang dimiliki," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang peniaga atas talian yang cedera ditembak perompak di Rantau Panjang, Kelantan.
Mangsa dikatakan aktif membuat sidang video langsung di Facebook bagi jualan kosmetik, barangan kemas dan pakaian sambil menunjukkan wang yang banyak.
Terdahulu, Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyempurnakan perasmian Karnival Mini Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini kelmarin dan turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamed.
Tambah Jailani, penggunaan kad debit secara kerap bagi pembelian secara atas talian juga antara faktor kepada pendedahan data peribadi seseorang dan lebih selamat digunakan kad kredit berbanding kad debit.
“Orang di luar sana banyak mencari peluang, jadi tidak salah kalau kita bersifat kedekut sedikit jika ingin mengisi data terutamanya dalam sesuatu borang yang memerlukan kita isi butiran diri. Janganlah kita isi semua,” katanya kepada Sinar Harian.
No comments:
Write comments